Berjimat Dalam Perbelanjaan

9 04 2009

Agak menghairankan juga bila kita dapati beberapa orang di sekeliling kita dapat menyara kehidupan keluarga mereka walaupun mempunyai pendapatan kecil. Pepatah melayu ada mengatakan, “BESAR PERIUK, BESAR LAGILAH KERAKNYA“, ada juga kebenarannya. Lebih banyak pendapatan yang kita perolehi jika tidak berjimat akan dibelanjakan kepada perkara yang sia-sia. Jika kita mempunyai pendapatan kecil tetapi tidak mengamalkan perbelanjaan secara berjimat dan berhemah, nescaya kita akan berada di dalam kehidupan yang sukar dan mudah terlibat di dalam hutang.

Sesuai dengan pendapatan yang diperolehi, rancanglah perbelanjaan kita. Jika kita tidak mampu lagi membeli kereta, cukuplah kita menaiki motosikal sahaja. Bagi yang merokok, eloklah berhenti sahaja. Sayanglah nyawa kita dan keluarga kerana wang yang kita bakarkan setiap hari lebih penting untuk digunakan bagi melindungi keluarga  daripada risiko kemalangan atau masalah kesihatan yang memerlukan banyak perbelanjaan bila berlaku tanpa diduga.

Hasil penjimatan akan kita gunakan untuk membina tabungan masa depan dengan mengamalkan FORMULA ASAS JUTAWAN, di mana kita akan mengasingkan terlebih dahulu pendapatan kita untuk simpanan, pelaburan dan insuran sebelum kita berbelanja. Sekiranya selepas berjimat kita dapati masih lagi tidak mencukupi, kita harus memikirkan jalan untuk mencari pendapatan tambahan.

Namun berhati-hatilah dengan pelbagai skim dan plan yang bukan menambahkan pendapatan tetapi akan menambahkan lagi perbelanjaan kita. Banyak kerja tambahan yang kita boleh lakukan sesuai dengan kepakaran dan kebolehan kita. Sebagai contoh, membuat kuih dan menumpang jualannya di gerai atau restoran. Yang penting mulakan secara kecil-kecilan dahulu tanpa berhutang.

Jumpa lagi nanti dengan topik yang lebih menarik…