Berjimat Dalam Perbelanjaan

9 04 2009

Agak menghairankan juga bila kita dapati beberapa orang di sekeliling kita dapat menyara kehidupan keluarga mereka walaupun mempunyai pendapatan kecil. Pepatah melayu ada mengatakan, “BESAR PERIUK, BESAR LAGILAH KERAKNYA“, ada juga kebenarannya. Lebih banyak pendapatan yang kita perolehi jika tidak berjimat akan dibelanjakan kepada perkara yang sia-sia. Jika kita mempunyai pendapatan kecil tetapi tidak mengamalkan perbelanjaan secara berjimat dan berhemah, nescaya kita akan berada di dalam kehidupan yang sukar dan mudah terlibat di dalam hutang.

Sesuai dengan pendapatan yang diperolehi, rancanglah perbelanjaan kita. Jika kita tidak mampu lagi membeli kereta, cukuplah kita menaiki motosikal sahaja. Bagi yang merokok, eloklah berhenti sahaja. Sayanglah nyawa kita dan keluarga kerana wang yang kita bakarkan setiap hari lebih penting untuk digunakan bagi melindungi keluarga  daripada risiko kemalangan atau masalah kesihatan yang memerlukan banyak perbelanjaan bila berlaku tanpa diduga.

Hasil penjimatan akan kita gunakan untuk membina tabungan masa depan dengan mengamalkan FORMULA ASAS JUTAWAN, di mana kita akan mengasingkan terlebih dahulu pendapatan kita untuk simpanan, pelaburan dan insuran sebelum kita berbelanja. Sekiranya selepas berjimat kita dapati masih lagi tidak mencukupi, kita harus memikirkan jalan untuk mencari pendapatan tambahan.

Namun berhati-hatilah dengan pelbagai skim dan plan yang bukan menambahkan pendapatan tetapi akan menambahkan lagi perbelanjaan kita. Banyak kerja tambahan yang kita boleh lakukan sesuai dengan kepakaran dan kebolehan kita. Sebagai contoh, membuat kuih dan menumpang jualannya di gerai atau restoran. Yang penting mulakan secara kecil-kecilan dahulu tanpa berhutang.

Jumpa lagi nanti dengan topik yang lebih menarik…



Formula Asas Jutawan

1 04 2009

Jika anda inginkan Kebebasan Kewangan anda harus bijak menguruskan pendapatan tetap bulanan anda. Cuba lihat formula berikut:

A. PENDAPATAN - BELANJA ==> SIMPANAN

B. PENDAPATAN - SIMPANAN ==> BELANJA

C. PENDAPATAN - SIMPANAN - PELABURAN ==> BELANJA

D. PENDAPATAN - SIMPANAN - PELABURAN - INSURAN ==> BELANJA

Mari kita bincangkan keempat-empat formula tersebut.

FORMULA A. Ini adalah formula orang kebanyakan yang merangkumi 80% penduduk dunia. Mereka akan berbelanja ikut hati. Jika ada lebihan barulah mereka simpan. Jika simpan di dalam akaun yang sama, kemungkinan akan dibelanjakan bersama-sama pendapatan pada bulan berikutnya. Akibatnya tiada simpanan dilakukan.

FORMULA B. Kaedah ini biasanya diamalkan oleh golongan sederhana. Mereka menyimpan apabila mempunyai sesuatu tujuan. Sebagai contoh untuk membeli kereta, rumah, berkahwin dan sebagainya. Golongan ini biasanya dalam golongan yanng cukup-cukup makan sahaja.

FORMULA C. Golongan yang mengamalkan kaedah ini biasanya mempunyai ilmu tentang pengurusan kewangan dan bagaimana memaksimumkan pulangan daripada pendapatan mereka. Simpanan digunakan untuk kes-kes kecemasan dan komitmen tetap seperti belanja tahunan persekolahan anak dan sebagainya. Wang pelaburan dijadikan strategi jangka panjang untuk pelan persaraan mereka apabila tua nanti. Golongan ini biasanya dikategorikan sebagai golongan yang berharta.

FORMULA D. Kaedah ini adalah kaedah terbaik yang diamalkan oleh golongan yang hebat dan cemerlang. Mereka menggunakan sepenuhnya pendapatan yang diperolehi dengan menyimpan dan melabur. Mereka mengambil perlindungan insuran supaya dapat membantu mereka mengurangkan risiko hilang pendapatan sekiranya berlaku kejadian / kemalangan yang tidak diingini.

Mungkin ada yang memberi alasan, “Gaji saya sedikit, mana ada duit nak simpan, apatah lagi nak melabur dan membeli insuran.” Atau ada yang sebut, “Anak saya ramai, makan pun tak cukup.” Dan pelbagai alasan lagi.

Kata orang tua-tua, “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.”

Jangan lupa mengikuti kupasan saya seterusnya, bertemu lagi di lain lembaran.

Salam…